PT 35460 (Tingkat 2), Dataran Austin Gong Badak, Kuala Terengganu.
012-785 3626

BAGAIMANA DENGKUR BERPOTENSI MENGANCAM NYAWA ANDA

1-BAGAIMANA-DENGKUR-BERPOTENSI-MENGANCAM-NYAWA-ANDA-SNORKY-CREAM

Krohhh! Krohhhhh! Krohhhhh!

Bunyi yang biasa kita dengar bagi mereka yang tidur berdengkur digambarkan seperti hon amaran kabus kapal laut, dengungan gergaji elektrik, guruh berdentum atau bunyinya seakan tercekik. Kedengaran melucukan, namun tidur berdengkur bukanlah suatu gurauan, malah ia merupakan suatu masalah yang boleh membawa penyakit merbahaya pada kesihatan diri.

Berdengkur bukan penyakit tetapi dikategorikan sebagai masalah perubatan, terutama bagi individu yang mengalami apnea tidur kerana boleh menimbulkan pelbagai penyakit seperti strok dan tekanan darah tinggi.– Dr. Ng Wai Keong, Perunding Neurologi, Pusat Perubatan Sunway

Walau bagaimanapun, masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak sedar bahayanya penyakit dengkur ini disebabkan oleh tanggapan mereka berdengkur adalah perkara biasa akibat keletihan.

Bagaimana Dengkur Terjadi?

Tidur berdengkur terjadi akibat daripada halangan pada bekalan udara ke paru-paru di mana menyebabkan kekurangan oksigen di dalam darah dan otak di samping boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan diri. Dengkur terbahagi kepada 2 jenis iaitu dengkur biasa dan Obstructive Sleep Apnea (OSA).

Menurut kajian yang diterbitkan dalam sebuah jurnal American Academy of Otolaryngology berkaitan hidung, telinga dan tekak, lebih kurang 45% orang dewasa yang normal didapati berdengkur ketika tidur, 25% daripada jumlah itu dianggap berdengkur sebagai situasi yang biasa. Kajian itu turut dipersetujui oleh Dr. Lau Wee Ming, Penasihat Respiratori, Pusat Pakar Alpha.

Secara amnya, dengkur berlaku apabila penyempitan salur udara menyebabkan pergolakan tekanan udara dan getaran palet lembut (lelangit) serta dinding farinks. Oleh sebab itu, getaran tersebut menghasilkan bunyi dengkur. Kebiasaannya, seseorang yang berdengkur akibat daripada berbadan besar. Kekurangan oksigen terutamanya ke otak menyebabkan masalah kesihatan, malah boleh membawa maut sekiranya dibiarkan berterusan.– Dr. Raymond Tan, Pakar Bedah Telinga, Hidung & Tekak, Hospital Pantai Ampang

Apa itu Obstructive Sleep Apnea (OSA)?

OSA merupakan singkatan kepada Obstructive Sleep Apnea yang bermaksud Apnea Tidur Halangan di mana mereka yang mempunyai masalah saluran pernafasan sempit. Saluran pernafasannya akan tertutup untuk beberapa saat sekiranya masalahnya lebih serius.

OSA adalah masalah yang kerap dialami oleh mereka yang obes atau terlebih berat badan di mana mereka berisiko memiliki jisim berat badan (BMI) melebihi 28. Kebiasaannya, OSA berisiko dalam kalangan lelaki berbanding wanita yang berusia lingkungan 25 – 55 tahun ke atas.Prof. Syed Hassan Ahmad, Presiden Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA

Berdasarkan statistik pada tahun 2001, 20% penghidap dengkur berisiko untuk menghidap OSA termasuklah bayi dan kanak-kanak juga boleh mengalami masalah ini selain dari golongan lelaki dan perempuan.

Menurut sumber keratan akhbar Utusan Malaysia pada tarikh 26 Disember 2010, tahap teruknya OSA ditentukan melalui kiraan setiap jam:

  • RENDAH : 10 apnea / sejam
  • SEDERHANA : 20 – 30 apnea / sejam
  • TERUK : Lebih 40 apnea / sejam

Bahaya utama bagi penghidap dengkur mempunyai OSA yang teruk menyebabkan berhenti bernafas lebih 30 saat berulang kali semasa tidur. Namun, mereka yang berdengkur dengan kuat dan mengalami OSA yang teruk mungkin menjejaskan kesihatannya dalam jangka panjang. Selain itu, mereka yang menghidap OSA akan berasa letih selepas bangun tidur, sangat mengantuk dan mengalami masalah kemurungan.Dr. Raymond Tan, Pakar Bedah Telinga, Hidung & Tekak, Hospital Pantai Ampang

Apakah Punca Tidur Berdengkur?

  • Berat badan – kegemukan & obesiti
  • Pemakanan yang berlebihan
  • Merokok
  • Terlalu letih
  • Masalah saluran pernafasan
  • Tisu tekak yang besar dan tebal
  • Lelangit lembut dan uvula (anak tekak) yang panjang
  • Lemah otot pada lidah, lelangit lembut dan tekak
  • Mengalami masalah OSA
  • Minum banyak minuman keras dan beralkohol sebelum tidur
  • Faktor genetik – keturunan
  • Tabiat tidur secara terlentang

Fakta Dengkur

  • 54% orang mendakwa percutian mereka terganggu akibat dengkuran
  • 41% menempah bilik berasingan supaya tidak sebilik dengan individu berdengkur
  • 43% terpaksa menggunakan penyumbat telinga ketika bercuti
  • 23% terpaksa tidur di balkoni (anjung) akibat berdengkur
  • 20% tidur di dalam bilik mandi
  • 8% balik awal dari percutian akibat berdengkur

Situasi Penghidap Dengkur

Kajian Synovate Omnibus pada Jun 2008 ke atas 1006 penduduk Semenanjung Malaysia mendapati 4 daripada 10 orang berdengkur, 36% mengakui dengkuran mereka mengganggu tidur pasangan & 53% lagi mendakwa tidur terganggu akibat dengkuran pasangan.

Orang yang mengalami dengkur ketika tidur ini akan mudah letih dan cepat nafas apabila membuat kerja berat. Ia turut dipengaruhi oleh faktor diabetes dan darah tinggi. Apabila berpuasa pula, kemungkinan tidak dapat mengawal selera makannya.

Ada juga orang yang mengalami dengkur diceraikan oleh pasangannya atas alasan sudah tidak tahan mendengar dengkuran setiap malam. Episod dengkur berlaku apabila pasangannya mula mengalami masalah kegemukan.

Lebih 50% mengalami masalah gangguan tidur berdengkur, namun 9 daripada 10 tidak mengambil tindakan untuk mengatasi masalah itu. Kaji selidik menunjukkan kebanyakan orang yang berdengkur adalah lelaki (53% berbanding 43% wanita), berkahwin (62% berbanding 38%) dan berbangsa Melayu (63%) berbanding Cina (26%) dan India (11%).– Vong Yuit Meng, Ketua Pemasaran GlaxoSmithKline Consumer Healthcare

Risiko untuk tidak boleh bernafas langsung boleh berlaku ke atas si pendengkur. Ia membuatkan mereka terjaga daripada tidur dan terpaksa mengejutkan orang yang tidur di sebelahnya untuk membantu bernafas kembali.

Bukan itu sahaja, orang berdengkur ini biasa alami rasa mengantuk ketika memandu sehinggakan boleh bahayakan nyawa kerana mereka boleh tertidur beberapa saat semasa memandu.

Apakah Kesan Bahaya Dengkur?

    • Emosi terganggu – mudah panas baran dan stres
    • Pening kepala
    • Lemah daya ingatan
    • Kualiti tidur kurang baik

Dengkuran boleh menjadi lebih teruk apabila tidur menjadi terganggu sepanjang malam kerana paras oksigen yang tidak cukup untuk sampai ke otak. Berdasarkan kajian, 44% lelaki dan 28% perempuan berumur 30 – 60 tahun berdengkur.– Dr. Amir Izwan Mohamed Dahan, Konsultan Telinga, Hidung & Tekak, Hospital Pusrawi

    • Risiko penyakit strok, sakit jantung dan Alzheimer
    • Mengantuk yang amat sangat pada waktu siang
    • Berisiko tinggi untuk mengalami angin ahmar kerana saluran darah ke otak tersumbat
    • Tekanan darah tinggi

Pesakit akan terdedah kepada serangan jantung dan strok. Berdasarkan kajian yang dibuat terhadap pesakit mendapati mereka mengalami obes, kencing manis dan permasalahan status lipid dalam badan yang tinggi.– Prof. Syed Hassan Ahmad, Presiden Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA

    • Komplikasi jantung dalam masa jangka panjang
    • Menjejaskan daya ingatan

Gangguan tidur termasuklah dengkur ataupun OSA akan menjejaskan daya ingatan untuk jangka masa panjang akibat daripada halangan pembentukan sel baru di dalam bahagian memori otak (hippocampus).– Dr. Dennis McGinty, Universiti California, Los Angeles

    • Boleh membawa maut

Dengkur adalah suatu masalah yang sering dialami oleh 30% – 40% penduduk kerana boleh mengganggu tidur seseorang, malah boleh mengakibatkan masalah penyakit kronik jika tidak diatasi sebaiknya. Orang kurus juga boleh berdengkur. Bunyi dengkur yang kuat tidak bererti masalah dengkur yang teruk, sebaliknya kehadiran apnea yang menentukan bahaya kepada penghidap.– Dr. Abdul Razak Rahman Hamzah, Pakar Telinga, Hidung & Tekak, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam

Petikan Dari: https://www.thevocket.com/bagaimana-dengkur-berpotensi-mengancam-nyawa-anda/

Related Posts