PT 35460 (Tingkat 2), Dataran Austin Gong Badak, Kuala Terengganu.

6 JUTA RAKYAT MALAYSIA KUAT BERDENGKUR

6 juta rakyat Malaysia kuat berdengkur

Hampir 20 peratus penduduk di negara ini menghidap penyakit tidur berdengkur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA) yang boleh menyebabkan pernafasan terhenti sewaktu tidur akibat saluran pernafasan terhalang.

Kajian Yayasan Tidur Kebangsaan Amerika Syarikat sebelum ini, mendapati lebih 6 juta rakyat di Malaysia menghidap OSA menyebabkan masalah kesihatan yang serius dalam jangka panjang, jika tidak segera dirawat.

Pakar Bedah Kanan Otorinolaringologi (ENT) PPUKM, Prof Datuk Dr Abdullah Sani Mohamed, berkata situasi itu turut membimbangkan kerana lebih dua juta pesakit memerlukan rawatan intensif bagi mengatasi penyakit, selain perlu mengamalkan rutin hidup sihat.

Katanya, pemeriksaan mengesan OSA juga perlu dilakukan bagi mengelakkan penyakit yang berkaitan seperti tekanan darah tinggi, penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung) dan diabetes.

“OSA biasanya menunjukkan pelbagai gejala dan paling umum ialah dengkuran keras diikuti kerap terjaga semasa tidur sama ada disedari pesakit atau sebaliknya.

“Tidur yang tidak berkualiti boleh menyebabkan keletihan, mengantuk berlebihan, sakit kepala pada awal pagi, prestasi yang lemah, peningkatan kemalangan jalan raya, hilang tumpuan dan gangguan hormon bagi wanita.

Dapatkan rawatan

“Justeru, mereka yang mengalami tidur berdengkur dinasihat membuat pemeriksaan di hospital bagi mengetahui punca dan mendapat rawatan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran alat tekanan saluran pernafasan

pertama yang terkecil di dunia, di Lobi Utama Hospital Canselor Tuanku Muhriz, di sini, semalam.

CPAP Airmini seberat 300 gram (g) itu dilancarkan julung kalinya di negara ini. Mesin ini lebih mudah dibawa dan dikendalikan bagi pesakit yang kerap mengembara, terutama untuk digunakan dalam perjalanan penerbangan sebagainya.

Airmini adalah hasil inovatif dari syarikat perintis dalam rawatan apnea tidur dari Australia, Resmed yang pernah membangunkan CPAP pertama pada 1989.

Yang turut hadir Wakil Pengarah PPUKM, Prof Dr Ahmad Nazrun Shuid, Pengurus Pemasaran Segmen ResMed (Malaysia Sdn Bhd), Dylan Tan dan Timbalan Pengurus Unit Perniagaan Bahagian Tidur, Chew Han Teak.

Dr Abdullah Sani berkata, ketika ini salah satu kaedah rawatan utama biasa digunakan penghidap OSA ialah dengan penggunaan CPAP bagi membantu pesakit bernafas secara bebas semasa tidur.

“Tekanan udara yang dihasilkan oleh CPAP bertindak menghalang saluran pernafasan pesakit menjadi sempit atau tertutup ketika bernafas.

“CPAP bantu membuka saluran pernafasan yang tersumbat dan memudahkan bernafas serta menghilangkan dengkuran.

“Hasilnya, penghidap dapat memperbaiki kualiti tidur dan rawatan ini juga membantu kurangkan tekanan salur darah arteri pulmonari,” katanya.

kredit: Berita Harian,8 Dec 2017 Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

Related Posts